Kabinet dapur adalah satu binaan yang di bina bertujuan untuk memberi gaya penataan di ruang dapur. Pada asasnya binaan kabinet dapur boleh dibahagikan kepada 3 komponen utama iaitu;
1. Badan kabinet
2. Pintu kabinet
3. Aksesori
Badan Kabinet
Badan kabinet merupakan bahagian yang menampung barangan yang bakal
kita simpan dalam kabinet kita. Dengan kata lain badan kabinet menampung
beban berat semua barangan berkenaan termasuk juga beban beratnya
sendiri, pintu-pintu kabinet serta semua aksesori yang dipasang. Ini
bermakna, badan kabinet perlu dibina dari bahan yang kukuh jika
ketahanan menjadi keutamaan.
Kami di Zolmar Enterprise selalu mengesyorkan supaya pelanggan
memilih badan kabinet yang dibina menggunakan ply bertetulang. Bagi kami
ia adalah pilihan binaan yang paling baik untuk badan kabinet yang kuat
dan tahan lasak dengan harga yang berpatutan.
Walaupun ply secara sendirinya tidak setebal dan sekuat kayu solid,
ia menjadi kuat apabila diperkukuhkan dengan tetulang beluti yang
diapit, dipaku dan digam di antara 2 kepingan ply. Biasanya ply dari
kayu berkualiti seperti nyatoh, semangkok, oak dan sebagainya dipasang
di sebelah luar dan ply berformika putih diletakkan di sebelah dalam.
Ringan dan kuat adalah ciri penting bagi badan kabinet yang ideal dan
ini dapat dicapai dengan menggunakan ply diperkukuh. Jika badan kabinet
itu sendiri sudah berat dan daya kekuatannya pula kurang sudah tentu
kabinet dapur anda tidak akan mampu bertahan lama.
Chipboard adalah contoh bahan binaan yang solid, berat tetapi kurang
mempunyai kekuatan. Bagaimanapun ia seringkali menjadi pilihan kerana
harganya yang lebih murah. Kenapa murah? Sebab kerja membina kabinet
mengunakan chipboard senang dan cepat. Hanya perlu potong mengikut saiz
dan pasang.
Badan dari kepingan ply diperkukuh pula terpaksa melalui proses kerja
yang lebih rumit, memerlukan kemahiran dan mengambil masa yang lebih
lama untuk disiapkan. Oleh itu harganya lebih mahal sedikit. Tetapi jika
ketahanan menjadi keutamaan anda, binalah badan kabinet anda melalui
kaedah ini. Ia berbaloi dengan nilai wang yang anda belanjakan.
Pintu Kabinet
Pintu-pintu kabinet adalah komponen yang memberi karakter kepada
dapur anda. Samada dapur anda akan kelihatan moden, tradisional, English
dan sebagainya adalah bergantung kepada pintu kabinet anda. Corak,
kemasan, warna dan aksesori pintu kabinet dapur anda memainkan peranan
dalam menjelmakan gaya atau konsep dapur yang anda ingini.
Ada banyak bahan yang boleh digunakan dalam pembinaan pintu-pintu
kabinet. Antara yang popular adalah kayu solid, chipboard, MDF board,
kaca, akrilik, aluminium, keluli tahan karat dan beberapa lagi. Sesuatu
pintu tidak semestinya menggunakan satu bahan saja malah biasanya pereka
akan menggabungkan bahan-bahan berkenaan sesuai dengan konsep atau gaya
yang ingin ditonjolkan.
Aksesori
Aksesori kabinet juga merupakan komponen penting dalam pembinaan
kabinet moden. Ia melengkapkan kabinet anda agar menjadi lebih
praktikal. Pernahkah anda melihat kabinet dapur yang dibina tanpa
sebarang aksesori? Misalnya, kabinet dapur cantik dan gagah tapi tidak
dilengkapi rak pengering pinggan mangkuk. Terpaksa beli set dari luar
dan bila diletakkan di dapur ia mengganggu ruang atau dapur kelihatan
‘semak’.
Sebenarnya ada banyak aksesori kabinet dapur yang boleh anda pasang
terus di dalam sistem kabinet anda. Jika anda membuat perancangan yang
betul dan memasang aksesori yang betul, kabinet dapur anda bukan saja
akan menawarkan ruang untuk anda menyimpan segala barangan keperluan
bahkan ia memudahkan anda melakukan kerja-kerja penyimpanan, penyusunan
dan seterusnya memudahkan pula kerja-kerja mencari dan mengeluarkannya.
Dengan pemilihan aksesori yang bijak, dapur anda mampu menjadi sebuah
dapur yang amat ergonomik dan anda pasti selesa bekerja di sana. Jika
anda kurang pasti apakah aksesori-aksesori yang patut ada dalam sistem
kabinet dapur anda, mintalah bantuan atau pendapat pereka atau
kontraktor yang akan membina kabinet dapur anda itu.
artikel di atas adalah dari
sini dan di oleh sedikit.