RUMAH
atau kediaman dalam Islam sering dikaitkan dengan syurga. Mendirikan
rumah tangga di kalangan orang Melayu adalah ibarat mendirikan masjid.
Sementara mendirikan masjid pula adalah ibarat mendirikan syurga.
Jika masjid melambangkan alam besar (makrokosmos), maka rumah kediaman pula dilambangkan sebagai alam kecil (mikrokosmos).
Rumah
adalah ekspresi atau salinan kepada tuan rumah. Kalau rumah dianggap
sebagai pembalut dan tuan rumah sebagai inti atau rumah sebagai jasad
dan tuan rumah pula sebagai rohnya. Bilik dianggap sebagai kalbu bagi
seseorang, di mana ia menjadi tempat manusia mendapat ilham, berfikir,
merancang segala-gala yang berhubung dengan kehidupan dunia dan
akhirat. Kalau kalbu memerintah seluruh anggota manusia begitu jugalah
kuasa yang datang daripada dalam bilik ini ke atas seluruh rumah.
Rumah
kediaman sebagai keperluan diri dan keluarga daripada perspektif Islam
sebenarnya ialah rumah kediaman yang dibina atas asas-asas takwa kepada
Allah s.w.t. dan disokong oleh as-sunah. Islam telah menetapkan
peraturan-peraturan yang wajib dipatuhi umat Islam. Rumah kediaman
Islam hendaklah merealisasikan konsep kesederhanaan dalam semua urusan
mencakupi material dan spiritual.
Kesederhanaan dari
sudut material dapat dilihat menerusi saiz dan reka bentuk sesebuah
rumah, perhiasan dan peralatan atau kelengkapan rumah tangga. Dari segi
saiz kediaman dan reka bentuk seni bina, Islam menganjurkan
kesederhanaan yang disesuaikan dengan keperluan. Keluasan saiz rumah
kediaman hendaklah berdasarkan jumlah ahli keluarga dan kegunaan
ruangruang yang diperlukan demi menyediakan ciri-ciri keselesaan dan
kesejahteraan seisi penghuninya. Rumah kediaman yang terlalu besar
dengan reka bentuk yang terlalu indah dianggap sebagi suatu pembaziran
jika keperluan terhadapnya tidak dipenuhi, misalnya jika dibandingkan
dengan keperluan penghuni yang menghuni rumah tersebut.
Rumah kediaman ideal merealisasikan konsep kejiranan dan silaturahim.
Rasulullah
s.a.w. menegaskan bahawa seseorang yang menjadikan jiran tetangganya
tidak aman daripada kejahatan-kejahatan yang dilakukannya tidak
dianggap benar-benar beriman.
Sungguhpun Rasulullah s.a.w.
menyifatkan rumah sebagai tempat yang perlu mempunyai perlindungan
peribadi, di mana Baginda s.a.w. pernah memberi amaran akan menyucuk
mata sesiapa yang mengintai ke dalam rumah orang, tetapi aspek
perlindungan peribadi yang dimaksudkan tidaklah sampai menutup pintu
silaturahim dengan jiran tetangga.
Dalam
Islam, perlindungan peribadi yang diperlukan dalam rumah adalah bagi
tujuan bermunajat dengan Allah s.w.t. terutamanya pada waktu malam.
Sementara perlindungan peribadi dalam reka bentuk rumah bermakna
pembinaan ruang-ruang yang mengambil kira batasan aurat antara muhrim
dan bukan muhrim.
Kecenderungan masyarakat membina
tembok-tembok dinding tinggi yang menutup dari lingkungan luar dan
tetangganya boleh mencetuskan bibit-bibit individualistik dan
melunturkan semangat kejiranan. Sebaliknya reka bentuk yang dipilih
hendaklah menggambarkan semangat kesediaan menerima kunjungan tetamu
pada waktu-waktu tertentu dan tetamu juga merasa diterima dengan baik.
Kehadiran Islam di alam Melayu mempengaruhi aspek arah rumah yang hendak dibina itu disyaratkan menghadap kiblat. Inilah
konsep pembinaan rumah kediaman yang ideal dan bertepatan dengan
kehendak Islam, di mana Rasulullah s.a.w menyifatkan rumah kediaman
laksana sebuah masjid bagi kaum perempuan menunaikan solat fardu dan
kaum lelaki menunaikan solat-solat sunat seperti solat hajat, tahajud,
witir dan jenazah.
Namun pada hari ini, kiblat tidak lagi
diambil kira. Hasilnya ada rumah yang dibeli oleh orang Islam, tetapi
kiblatnya menyerong hingga ada yang menghadap ke tandas.
Kiblat
adalah titik rujuk di bumi, di mana dalam Islam selain daripada menjadi
arah dalam solat, amalan-amalan ibadah yang lain juga dituntut
menghadap ke kiblat seperti sembelihan, akad nikah, membaca al-Quran,
mandi dan sebagainya.
Bahkan seawal kelahiran manusia ia
dibawa menghadap kiblat untuk diazan atau diqamatkan sehinggalah
apabila manusia itu meninggal ia dikebumikan juga menghadap ke kiblat.
Rumah kediaman turut memainkan peranan penting dalam mewujudkankebahagiaan kepada
seseorang. Kebahagiaan seseorang sebenarnya bermula dari rumah. Kalau
di rumah lagi seseorang itu tidak bahagia, maka di pejabat, di masjid
dan di mana-mana sahaja dia tidak akan bahagia.
Dalam hal
ini Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa empat perkara yang boleh
menjanjikan kebahagiaan kepada seseorang, iaitu isteri baik, rumah
selesa, jiran baik dan kenderaan selesa. Apa yang dimaksudkan dengan
rumah selesa oleh Rasulullah s.a.w. bukanlah terletak pada nilai
material dan hiasan mewah, bahkan lebih memfokus kepada nilai keimanan
dan ketakwaan yang ada pada penghuni rumah.
Rumah ideal
ialah di dalamnya selalu mendirikan ibadah kepada Allah s.w.t., rumah
yang di dalam menjadi tempat pembentukan nilai-nilai qudwah
hasanah (teladan yang baik), ditegakkan syariat Islam, dandapat
menghindarkan penghuninya daripada hal-hal yang bertentangan dengan
ajaran agama, dan berperanan sebagai tempat pembinaan generasi akan
datang.
Secara umumnya konsep rumah kediaman ideal ialah
rumah yang mencerminkan tiga hal pokok yang utama, iaitu hubungan
manusia dengan Allah s.w.t. (hablum minallah), hubungan manusia sesama
manusia (hablum minannas) dan hubungan manusia dengan alam (hablum
minal alamin).
Adalah menjadi tanggungjawab utama kaum
bapa sebagai ketua dalam rumah tangga membentuk konsep rumah yang ideal
meliputi aspek kebendaan dan kerohanian seperti yang dimaksudkan oleh
Rasulullah s.a.w. bahawa faktor rumah menjadi penentu kepada
kebahagiaan seseorang manusia.
No comments:
Post a Comment