Salam Sejahtera. Adakah anda merancang untuk mengubahsuai kediaman,pejabat,taska atau ingin mengecat kediaman@pejabat sedia ada ? INGIN MEMBINA RUMAH KEDIAMAN BARU dengan menggunakan pinjaman dari BANK tempatan? Hubungi kami & kami bersedia membantu anda, dengan bajet yang NGAM.. hubungi kami. binakarya.e@gmail.com 013 - 6975013

Search This Blog

Ubahsuai Kediaman

Kami Juga Ada Menyediakan Perkhidmatan Ubahsuai Kediaman, Kerja -kerja Mengecat, Pendawaian Elektrik. Hubungi Kami 013 - 697 5013

23 September 2011

Kontraktor Bumiputera

Saban tahun, kerajaan membelanjakan berbillion ringgit dalam melaksanakan agenda Bumiputera untuk membantu kontraktor Bumiputera untuk bersaing dengan kontraktor bukan Bumiputera dalam industri pembinaan negara.

Dianggarkan sejumlah RM50 billion kontrak dan tender kerajaan dalam bidang pembinaan sama ada membabitkan projek milik penuh kerajaan atau Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) diberikan kepada kontraktor Bumiputera.

Jumlah berkenaan boleh dianggarkan separuh daripada perbelanjaan tahunan untuk sektor pembinaan negara yang bernilai RM100 billion atau kira-kira dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setiap tahun.



Sebenarnya, jika diimbas semula dasar pemberian kontrak kerajaan kepada kontraktor Bumiputera ini, bermula sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan pada 1974.  Namun persoalan utamanya, adakah kaedah ini, berjaya mencapai matlamat dan sudah berapa ramai kontraktor Bumiputera yang benar-benar mendapat manfaat, hasil agihan ini.

Persoalan ini, seharusnya dijawab dengan telus dan tidak menjurus menjadi isu politik dalam memastikan setiap agenda Bumiputera yang dilaksanakan kerajaan menjadi pertikaian politik tetapi kepada masyarakat Bumiputera secara keseluruhannya.

Agenda Bumiputera

Apa yang menarik, ramai pihak yang mula mempersoalkan mengenai agenda Bumiputera dalam setiap projek pembangunan yang dilakukan kerajaan hingga ia kini dilihat menjadi batu penghalang kepada pembangunan negara.

Malaysia perlu membangun mengikut acuannya dan sudah pasti kerajaan sentiasa sedar bahawa agenda Bumiputera perlu ada dalam setiap model pembangunan negara sama ada dalam bentuk makro atau mikro.

Tetapi desakan terbuka untuk memasukkan agenda Bumiputera dalam setiap apa yang hendak dilakukan kerajaan sebenarnya memberikan imej kurang baik kepada masyarakat Bumiputera itu sendiri.

Persoalan itu sebenarnya, menghantui generasi muda Bumiputera pada masa kini, walaupun pada hakikatnya mereka sedar bahawa ia adalah satu keistimewaan tetapi perlukah agenda Bumiputera ini, terus mengikut acuan sedia ada.

Acuan sedia ada yang digunakan untuk memacu agenda Bumiputera selama ini, adalah dengan kerajaan menyediakan segala-galanya kepada masyarakat Bumiputera dengan pelbagai insentif serta kuota yang dikhususkan kepada mereka.

Bagaimanapun, majoriti masyarakat Bumiputera mula sedar bahawa apakah hasilnya? Apakah Indeks Penunjuk Prestasi (KPI) dalam setiap agenda Bumiputera yang dilakukan kerajaan? Siapa sebenarnya, yang mendapat manfaat? Keseluruhan masyarakat Bumiputera, segelintir atau ia melimpah kepada bukan Bumiputera.

Namun, adakah kontraktor Bumiputera benar-benar mendapat manfaat, hasil pemberian kontrak ini, bagi memastikan golongan berkenaan boleh bersaing dengan bukan Bumiputera.

Kontrak dari kerajaan

Jika kita lihat secara lebih meluas, majoriti kontraktor Bumiputera hanya mampu mendapat kontrak daripada kerajaan atau Syarikat Berkaitan Kerajaan tetapi tidak daripada pemaju swasta yang sebahagian besar terdiri daripada bukan Bumiputera.

Lantaran itu, pelbagai alasan diberikan termasuk wujudnya diskriminasi dilakukan kerajaan terhadap kontraktor Bumiputera dengan hanya syarikat yang menjadi kroni kepada parti politik layak mendapat kontrak-kontrak ini.

Mengapa ini terjadi? Adakah kontraktor Bumiputera tidak mampu bersaing dan tidak boleh menghasilkan kualiti kerja setara atau lebih baik daripada kontraktor bukan Bumiputera.
Ketirisan kerja kontrak membabitkan kontraktor Bumiputera sebenarnya sudah mencapai tahap serius, ia perlu diakui semua pihak dan satu pelan tindakan sepenuhnya perlu dirancang segera bagi mengelakkan isu ini, menjadi lebih parah.

Fenomena ini sememangnya suatu yang cukup mengecewakan kerana ianya boleh menggagalkan hasrat kerajaan untuk memperkasakan kontraktor Bumiputera dan seterusnya mengatasi masalah jurang pendapatan antara kaum di Malaysia.

Keadaan ini juga menyebabkan taraf hidup, kuasa beli, kedudukan dalam masyarakat berbilang kaum, peluang dan keupayaan pendidikan, taburan peruntukan dana dan pelaburan di institusi kewangan dan perbankan serta banyak lagi petunjuk mengambarkan kelemahan penguasaan kaum Bumiputera dalam ekonomi di Malaysia.

Yang jelasnya, isu ini bukan disebabkan kekurangan peruntukan kerajaan untuk membantu Bumiputera kerana saban tahun kerajaan mengeluarkan peruntukan berjuta-juta ringgit dalam bentuk tender dan kontrak yang dikhususkan kepada Bumiputera namun malangnya kebocoran tetap berlaku.

Ketirisan

Sekiranya masalah ketirisan ini tidak diatasi segera tidak mungkin mereka akan dapat memanfaatkan sepenuhnya pelaksanaan projek-projek pembangunan yang bernilai RM230 bilion yang diumumkan Kerajaan melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) baru-baru ini.

Selain itu, kerajaan telah melakukan pelbagai perkara untuk membantu meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam perniagaan termasuk menggubal dasar-dasar afirmatif seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menjamin peluang dan penglibatan secara aktif golongan Bumiputera yang satu ketika dahulu jauh terkebelakang akibat dasar diskriminatif penjajah yang mengakibatkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

Hasilnya, pegangan ekuiti Bumiputera meningkat daripada 2 peratus pada permulaan DEB kepada 19 peratus pada tahun 2000 tetapi hakikatnya, hampir keseluruhan daripada peratusan itu dipegang oleh GLC milik kerajaan sepenuhnya dan ia membuktikan bahawa dasar membantu kontraktor Bumiputera masih gagal.

Namun begitu, perangkaan sehingga ini menunjukkan sasaran DEB masih belum tercapai sepenuhnya. Ketidakcapaian sasaran DEB bukan kerana kesilapan dasar. Ketidakcapaian tersebut antaranya disebabkan berlakunya ketirisan pada peringkat pelaksanaan.

Ini kerana sikap sesetengah Bumiputera gagal memanfaatkan sepenuhnya tender yang dikhaskan untuk mereka tetapi sebaliknya membenarkan projek-projek ini jatuh ke tangan bukan Bumiputera di bawah konsep “Ali Baba”.

Golongan ini merupakan kontraktor Bumiputera yang tidak bertanggungjawab dan sanggup menjual kontrak yang diperolehi sebagai jalan mudah untuk mendatangkan keuntungan segera.
Peluang yang diberi tidak diguna bagi membesarkan urus niaga atau meningkatkan kapasiti bagi menjamin kejayaan yang berterusan dan berpanjangan.

Permit, kemudahan, kontrak dan lesen yang diperuntukkan kepada Bumiputera diserahkan kepada orang lain, untuk keuntungan jangka pendek. Setelah itu mereka meminta peluang baru sehingga akhirnya lahir satu puak-puak yang menjadikan peranan orang tengah sebagai profesion.

Selain menggagalkan pencapaian matlamat DEB, ketirisan yang berlaku mencemarkan imej Melayu, di samping menghakis keyakinan umum terhadap masyarakat Bumiputera.

Konsep Ali Baba

Tindakan yang diistilahkan sebagai “rent seeking” ini, iaitu mengambil keuntungan daripada orang lain tanpa membuat sebarang sumbangan kepada produktiviti sememangnya tidak mampu memberikan nilai tambah kepada segala usaha berterusan untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera yang pada ketika ini jelas sedang merosot dan mengalami penurunan yang begitu mendadak.

Sikap ingin cepat menjadi kaya dan tidak menanamkan ciri-ciri kesungguhan dalam perniagaan merupakan antara kelemahan yang sering kali dikaitkan dengan tabiat negatif usahawan Bumiputera.
Keghairahan untuk mengaut keuntungan jangka pendek sering kali mendorong pelbagai tindakan yang tidak beretika hingga membelakangkan prinsip dan sanggup menggadai masa depan bangsa dan negara.

Justeru, apabila konsep Ali Baba ini menjadi amalan mereka, bukan keuntungan yang diperolehi, sebaliknya semakin ramai kontraktor Bumiputera mengalami kerugian dan ketinggalan berbanding dengan usahawan bangsa lain.

Sektor pembinaan dianggap sebagai bisnes untuk cepat kaya sehingga semua orang berhasrat menjadi kontraktor, biarpun ada yang masuk tanpa ada kepakaran dan kemahiran, apatah lagi modal yang mencukupi.

Perspektif ingin cepat kaya jadi kontraktor ini telah membawa kepada jumlah kontraktor Bumiputera yang ramai, namun akhirnya ramai juga yang sakit dan gulung tikar. Lebih malang lagi yang menyewakan lesen kepada bukan Bumiputera untuk melaksanakan projek yang diperuntukkan kepada Bumiputera.

Apa yang lebih mendukacitakan ialah sikap segelintir ini yang memburukkan semua kontraktor Bumiputera yang bertungkus-lumus mencari rezeki dengan cara yang halal dengan sewenang-wenangnya mengkhianati amanah hingga sanggup mempertaruhkan nasib bangsanya demi gelojak nafsu yang tidak terbimbing dengan nilai-nilai agama.

Memang menyedihkan membincangkan masalah ketirisan ini namun persoalannya apakah faktor ali baba semata-mata yang menyebabkan kebocoran tersebut?

Sikap penjawat awam

Masalah ketirisan ini bukan sahaja disebabkan oleh faktor kerakusan segelintir kontraktor Bumiputera semata-mata kerana ianya juga dapat dilihat berlaku di pelbagai peringkat pengurusan perolehan kerajaan.

Walaupun pengurusan perolehan kerajaan dilengkapkan dengan undang-undang, prosedur dan arahan sebagai panduan pelaksanaan, namun ia sering dikatakan sebagai bidang pengurusan kewangan yang paling berisiko untuk berlakunya ketirisan dan penyelewengan.

Ketirisan sering berlaku disebabkan oleh percanggahan kepentingan, pilih kasih terhadap pembekal atau telah berpakat tidak melaporkan kecacatan dan kekurangan, membocorkan maklumat jabatan, mengutamakan kepentingan sendiri berbanding kepentingan orang awam dan telah menerima komisen atau suapan.

Faktor utama mengapa terjadinya ketirisan dalam menguruskan perolehan Kerajaan adalah sikap penjawat awam yang tidak mengamalkan nilai-nilai murni seperti akauntabiliti, integriti, dan saksama dalam melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan.

Tetapi oleh kerana majority syarikat Bumiputera, terutamanya yang lebih kecil, banyak bergantung kepada projek-projek kerajaan untuk terus hidup, karenah birokrasi di peringkat ini terpaksa dihadapi dan sekaligus menjejaskan prestasi syarikat-syarikat tersebut.

Pengurusan rantaian bekalan

Selain itu, di antara faktor lain yang perlu dipandang serius ketika ini ialah kelemahan dalam pengurusan rantaian bekalan (supply chain management).
Rantaian bekalan merupakan proses dan struktur yang menggabungkan input yang berbeza untuk menghasilkan keluaran yang memenuhi permintaan pasaran.

Saya percaya ramai kontraktor Bumiputera berhadapan dengan masalah ketirisan ini disebabkan tidak mampu bersaing dan menguasai bidang-bidang kritikal terutamanya dalam aspek keupayaan kewangan dan rantaian bekalan bahan binaan yang masih lagi dikuasai oleh bukan Bumiputera.

Ini mengakibatkan harga bahan tidak dapat dikawal selain yang sememangnya sudah sedia ada dalam senarai barangan kawalan. Apabila kenaikan harga berlaku akibatnya kos projek juga berubah. Seterusnya kontraktor terpaksa membuat permohonan untuk mengubah kos (variation cost) dan ianya boleh mengurangkan keuntungan.

Ada beberapa kajian secara objektif yang dibuat telah mendapati bahawa ketirisan itu memang tidak dapat dielakkan memandangkan kontraktor Melayu memang terpaksa membeli bahan binaan dari peniaga bukan Melayu, dan kos untuk bahan binaan selalunya adalah dalam lingkungan 60 peratus daripada keseluruhan kerja pembinaan.

Ia ditambah lagi dengan faktor sewaan jentera dan lain-lain perkara logistik, tenaga buruh dan lain-lain tenaga pakar juga biasanya disewa daripada orang bukan Melayu. Kos untuk buruh dan logistik biasanya dalam lingkungan 20 peratus.

Ia diburukkan lagi dalam keadaan industri pembinaan negara yang bergantung kepada tenaga kerja asing yang murah sekaligus mengurangkan penyertaan masyarakat Bumiputera secara keseluruhannya.

Kontraktor Bumiputera tidak mempunyai pilihan selain menyewa jentera dan peralatan binaan yang dikuasai bukan Bumiputera kerana tidak mampu memiliki jentera sendiri, sekaligus sukar untuk mendapatkan penyertaan lebih 25 peratus Bumiputera dalam sebuah syarikat Bumiputera kerana masalah yang dihadapi itu.

Justeru, masalah ketirisan ini perlulah ditangani dan dibendung agar ianya tidak berlarutan dan bakal merosakkan ekonomi negara.

Kerajaan mengubah pendekatan

Kerajaan tidak boleh terus membuang wang begitu sahaja dalam melaksanakan agenda Bumiputera kerana ia seharusnya memberikan manfaat kepada keseluruhan masyarakat Bumiputera.
Kerajaan perlu mengubah pendekatan ini, dengan melaksanakan sistem merit, membantu kontraktor Bumiputera yang benar-benar layak dan berkebolehan menjadi sebuah syarikat gergasi.

Melalui kaedah ini, ia sudah pasti akan menyelesaikan isu politik yang selama ini, menjadi satu beban kepada kerajaan kerana dilemparkan dengan pelbagai tuduhan kronisme dan nepotisme.
Kita lihat sahaja bagaimana dasar membantu Bumiputera dalam bidang pendidikan berjaya mencapai matlamatnya, dengan ramai golongan profesional Bumiputera dilahirkan.

Perkongsian setara di antara kontraktor Bumiputera dan bukan Bumiputera melalui set kemahiran kerja teras dan juga pengetahuan sampingan akan membantu mereka menjalankan perniagaan yang menghasilkan satu situasi "menang-menang".

Dengan membiarkan kontraktor Bumiputera ini bekerja dengan kontraktor yang berpengalaman dan memiliki latar belakang prestasi kerja yang baik, ia bukan sahaja membolehkan mereka belajar daripada kontraktor berjaya tetapi juga diberi pendedahan dengan sikap yang betul dan komitmen teguh yang perlu diceduk dari kontraktor berkeupayaan yang lain.

Tambahan pula, disamping meningkatkan daya saing dan keupayaan kontraktor untuk jangka masa panjang, perkongsian itu membantu Bumiputera menjadi lebih berdikari dalam memperoleh projek-projek di masa hadapan.

Kerjasama

Apa yang diperlukan ialah untuk semua rakyat Malaysia untuk bekerjasama untuk membentuk Rantaian Bekalan bersepadu 1 Malaysia supaya ia dapat bersaing di peringkat global dan menjana kekayaan dan pendapatan untuk memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

Melalui kerjasama strategik ini secara tidak langsung turut dapat menyumbang kepada pembangunan keseluruhan Bumiputera. Justeru, untuk melaksanakan rantaian bekalan bersepadu ini memerlukan kerjasama dan integrasi pada semua peringkat. Kerjasama yang erat di antara Bumiputera dan bukan

Bumiputera akan menghasilkan skala pengeluaran yang lebih tinggi dan sekaligus menghasilkan pendapatan yang boleh dikongsi oleh semua pihak.
Ketidakmampuan untuk berintegrasi pada rantaian bekalan global merupakan masalah yang dihadapi oleh peniaga-peniaga Industri Kecil & Sederhana (IKS) yang kebanyakannya terdiri daripada golongan Bumiputera.

Ini menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada subsidi yang tidak mungkin kekal selamanya akibat faktor kekangan fiskal dan sekaligus membantutkan peluang untuk mereka berjaya dalam jangka masa panjang.

Selain itu, peranan kerajaan juga perlu ditingkatkan melalui penyemakan semula sistem pemberian kontrak kepada usahawan Bumiputera bagi meminimumkan ketirisan. Dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), komuniti perniagaan mahukan jaminan bahawa projek yang diluluskan mesti berdasarkan keupayaan, komitmen dan kepakaran.

Namun begitu, kerajaan juga perlu merangka rancangan jangka panjang untuk memecah monopoli golongan bukan Bumiputera dalam rantaian bekalan bahan-bahan mentah terutamanya dalam industri pemibinaan.

Sekiranya kerajaan serius untuk membasmi kebocoran ini, cara yang terbaik ialah dengan mengadakan satu mekanisma bagi membolehkan tugas sebagai pembekal itu boleh diberikan kepada agensi yang dijalankan oleh Bumiputera. Ini akan menyebabkan bahan binaan boleh dibeli terus oleh kontraktor daripada pembekal Bumiputera.

Tingkatkan keupayaan

Di peringkat kontraktor Bumiputera pula, mereka seharusnya mempunyai amanah dan mengambil langkah-langkah untuk memastikan projek yang ditawarkan dilaksanakan dengan baik tanpa disubkan sepenuhnya kepada orang lain. Kontraktor Bumiputera perlu melengkapkan syarikat dengan keupayaan teknikal yang tinggi serta memenuhi standard ISO tertentu.

Selain itu, kontraktor Bumiputera perlu mendalami ilmu dan mengaplikasikan Sistem Binaan Bersepadu (IBS) dalam industri pembinaan sebagai langkah mengelakkan ketirisan.
IBS merupakan aktiviti pembinaan pasang siap yang mana semua komponen pembinaan seperti penuangan konkrit, kolum, rangka dan sebagainya dibuat di kilang oleh vendor.

Vendor kemudiannya akan membawa kesemua bahan binaan yang telah dipasang siap di kilang ke tempat binaan untuk dipasang oleh sub-kontraktor. Langkah bagi menggalakkan syarikat Bumiputera menggunakan sistem ini juga membolehkan mereka dapat mengeluarkan barangan binaan dalam skala yang lebih besar dan berdaya saing selain mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh, meningkatkan kualiti, produktiviti, keselamatan dan daya saing.


Atas sebab ini, kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya perlu memperkasakan peranan Lembaga Perindustrian Pembinaan (CIDB) dan saya berharap dengan pelantikan Datuk Seri Ir Dr Judin Abdul Karim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CIDB akan membantu agensi ini, melaksanakan kaedah IBS dengan lebih berkesan.

Sebenarnya, kaedah IBS ini, mempunyai banyak kelebihan kerana ia menggalakkan pengunaan teknologi sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Bagaimanapun, tidak ramai kontraktor Bumiputera yang mahu menggunakan teknologi mekanikal ini, memandangkan kaedah konvensional lebih mudah dan murah tetapi ia sebenarnya, merugikan mereka dalam jangka masa panjang.

Sikap tidak mahu berubah inilah, yang akan merugikan kontraktor Bumiputera sekaligus menyebabkan mereka terus menjadi pengikut trend bukannya “trend setter”.
Dengan menggunakan IBS, syarikat Bumiputera boleh terlibat dengan mengeluar dan membekalkan komponen-komponen binaan yang ada dalam industri itu serta boleh melengkapi rantaian nilai industri termasuk menjadi pemasang bahan binaan itu serta bertindak sebagai perunding.

Sebaliknya, banyak syarikat besar dalam industri IBS telah berjaya terutamanya dalam pembinaan perumahan dan apartment. Ini membuktikan bahawa IBS adalah sistem yang sangat baik dengan syarat pihak terbabit mempunyai keupayaan untuk menjalankan kerja-kerja yang berkaitan dengan IBS seperti rekabentuk, analisis dan pembuatan komponen IBS.

Model Baru Ekonomi

Model Baru Ekonomi (MBE) telah menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam memacu Negara sebagai Negara maju menjelang 2020 dan ianya memerlukan semua bergerak dan bertindak secara kolektif.

Masyarakat Bumiputera khususnya kontraktor Bumiputera dalam tempoh tidak sampai satu dekad lagi, kita akan sampai ke tahun 2020 dan adalah menjadi dasar Malaysia mahu menjadi negara maju.
Menjadi negara maju turut memerlukan Malaysia untuk menjadi anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bagi membolehkan negara mendapat manfaat sekaligus mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi.

Namun ia turut membawa maksud bahawa, Malaysia perlu membuka perolehan kerajaan yang selama ini, harta eksklusif masyarakat Bumiputera kepada masyarakat bukan Bumiputera bukan sahaja di dalam negara bahkan syarikat asing.

Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk menyiapkan kontraktor Bumiputera berhadapan dengan cabaran ini, kerana kita mahu syarikat pembinaan Bumiputera yang mampu bersaing “sama rendah dan sama tinggi” dengan syarikat antarabangsa dalam membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara maju.

No comments:

Post a Comment

!-- start -->

belajar jawi !!

KAMERA ONLINE

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

BlogMalaysia.com

Tweet
Share

Sebarkan.