MENGECAT seperti seni lukisan memerlukan teknik dan langkah yang betul bagi mendapatkan impak berkesan. Jika karya lukisan dikagumi kerana memaparkan estetika, dinding kediaman sesuai gaya penataan berupaya mengungkap karektor ruang sekali gus menyediakan suasana menarik untuk dihayati. Bagi mendapatkan hasil sempurna, empat langkah mengecat disediakan berupaya membantu khasnya mengenai bagaimana dan di mana kerja-kerja mengecat perlu dimulakan. Empat langkah yang perlu di ambil kira jika mahukan hasil cat yang baik iaitu:
Bersihkan permukaan yang mahu dicat
Sebelum kerja mengecat dimulakan, pastikan permukaan mana-mana ruang sama ada di dalam dan luar kediaman dibersihkan terlebih dulu. Untuk kawasan luar rumah, biasanya akan ada masalah ruang atau dinding berkapur, berlumut atau ada sisa cat yang tertinggal atau cat merekah. Justeru, gunakan saja penyembur air berkuasa tinggi untuk membuang sisa atau kapur yang terlekat. Boleh juga gunakan sudip untuk membuang sisa cat atau lumut yang terlekat. Bagi ruang dalaman rumah, penggunaan penyembur air berkuasa tinggi atau air yang banyak sudah tentu tidak sesuai kerana ia boleh membasahkan ruang berkenaan. Justeru, gunakan kain pengelap dan basahkan dengan sedikit air untuk membuang habuk atau kapur yang melekat di dinding.
Pilih peralatan yang berkualiti
Selepas permukaan dinding dibersihkan, maka kerja mengecat sudah boleh dilaksanakan. Namun, pemilihan peralatan mengecat perlulah berkualiti jika anda mahukan hasil yang baik. Untuk kerja mengecat, berus atau penggelek cat perlu berkualiti. Pastikan bulu berus cat tidak mudah tercabut kerana ia akan mengganggu kerja mengecat dan menghasilkan cat yang tidak rata. Berus dan penggelek cat yang baik biasanya boleh dibasuh dan digunakan semula. Basuh menggunakan air biasa atau minyak mengikut jenis cat yang digunakan. Berus dan penggelek cat yang baik biasanya menggunakan bahan yang lembut bukannya keras.
Pilih cat yang sesuai
Gunakan cat untuk luar rumah hanya untuk kawasan berkenaan saja. Cat luar kediaman biasanya boleh juga digunakan untuk ruang dalaman kediaman. Namun, cat untuk dalaman rumah tidak boleh digunakan di luar kediaman. Baca label pada tin sebelum memilih cat. Cat ada beberapa jenis mengikut kandungan dan kesesuaian serta material yang digunakan. Jangan gunakan cat untuk besi bagi permukaan berasaskan kayu begitu juga sebaliknya.
Waktu mengecat
Kerja mengecat sebenarnya tidak boleh dilakukan sesuka hati saja. Untuk mendapatkan hasil yang baik beberapa perkara perlu di ambil kira terutama jika kerja mengecat membabitkan kawasan di luar kediaman. Waktu yang paling sesuai untuk mengecat luar kediaman adalah pada waktu pagi dan petang iaitu ketika matahari tidak terik. Ini kerana sesetengah cat cepat kering dan tidak digalakkan mengecat pada waktu panas terik kerana ia memberi tindakan kimia kepada cat yang digunakan. Apabila cat cepat kering akan menyebabkan cat merekah. Elakkan mengecat pada waktu hujan kerana ia menyebabkan cat hilang.
Tip: Langkah kerja mengecat
No comments:
Post a Comment