Perancangan dan rekaan ruang dapur berhubung rapat dengan budaya
dapur amalan keluarga kita sendiri. Maka tidak ada satu jawapan untuk
semua keluarga. Setiap keluarga mempunyai keperluan yang unik.Dari segi teknikal, lazimnya ada kehendak standard. Kita sebagai
pengguna dapur sendiri jangan terlalu terikut-ikut dengan orang lain.
Sebagai orang Melayu, saya lebih merujuk kepada amalan budaya
masyarakat Melayu tradisi. Antara perkara yang dititikberatkan adalah
upacara keramaian di rumah. Contohnya, kenduri, perkahwinan, kematian
dan hari raya.Upacara begini sering mencabar keberkesanan perancangan ruang dapur
dan ruang makan. Ini kerana silap mengatur laluan trafik akan
menyebabkan kesesakan lalu-lintas dan menjejaskan upacara berkenaan.
Dalam masyarakat Melayu tradisional, dapur dikhaskan untuk wanita.
Dulu, wanita adalah suri rumah, maka banyak masa dihabiskan di situ
untuk menjalankan pelbagai aktiviti domestik tetapi sekarang tidak
janggal golongan lelaki ke dapur untuk membantu isteri.
Pada hari ini, dapur sudah banyak melalui perkembangan dari aspek
reka bentuk dan perancangannya. Pada zaman kolonial British dulu rumah
ibu dan dapur mempunyai definisi yang jelas kerana dibezakan aras dan
kedudukannya.Dapur rumah bangunan kolonial biasanya mempunyai kawasan bertutup
dan terbuka yang disatukan. Ini sebenarnya sangat praktikal dan menarik.
Kebersihan dapur perlu dititikberatkan
Hari ini, dapur moden mengalami satu masalah yang lazim iaitu
keluasan terhad terutama di rumah teres dan apartmen tetapi aktiviti
dapur tetap sama. Di situlah kita memasak, mencuci pinggan-mangkuk,
mencuci baju dan menjemur pakaian.
Di kawasan yang kecil itu juga hendak bercucuk tanam menghasilkan
taman herba atau taman mini. Sebenarnya jika dirancang dengan baik dan
bijak, ia akan menjadi ruang paling digemari keluarga.
Namun, perancangan yang baik ini harus disesuaikan budaya dapur
kita. Dapur yang moden dan canggih sekalipun, jika penggunanya tidak
bersih, tidak rajin berkemas, kasar dan tidak mengikut peraturan,
dapurnya pasti menjadi buruk juga.
Jadi, dalam merancang reka bentuk dapur, ia perlu disertakan dengan
perubahan amalan budaya dapur yang menekankan aplikasi sistem yang
berkesan dan praktikal.
Seperti yang saya sebutkan tadi, aktiviti mencuci pakaian dan
menjemur baju juga dilakukan di dapur. Kawasan luaran yang sedikit di
belakang rumah dimanfaatkan sebagai tempat menyidai pakaian dan ini
merosakkan pemandangan indah seni bina rumah kita.
Namun, tidak dapat dielakkan mengikut pengakuan sebilangan suri
rumah bahawa ruang yang ada itu menempatkan semua aktiviti berkenaan.
Jadi, kesimpulan yang dapat dibuat ialah suasana dapur menarik dan
selesa banyak bergantung kepada tradisi amalan dapur kita.
Di sini boleh saya katakan bahawa reka bentuk atau hiasan dalaman
bukan hanya menekankan nilai estetik semata-mata, tetapi membentuk
disiplin diri ahli keluarga dan memperbaiki kualiti hidup sesebuah
keluarga.
Perkembangan dapur pada hari ini
Tugas dapur berubah secara dramatik pada 20 atau 30 tahun lalu. Dari
berfungsi secara asas sebagai tempat yang hanya menyedia dan menyiapkan
makanan untuk keluarga menjadi ruang pelbagai fungsi seperti
penyimpanan makanan kepada penyediaan makanan dan sebagai ruang
keluarga.
Pertukaran cara hidup dan teknologi banyak mempengaruhi cara dapur
berfungsi. Dengan adanya peralatan dapur canggih dan mesra pengguna
membuat cara dan gaya memasak berubah. Dengan adanya peti sejuk besar,
sekarang ini masyarakat hanya perlu berbelanja di pasar hanya sekali
seminggu.
Cara penyediaan makanan juga berubah, penggunaan makanan segera dan
perencah segera semakin popular bagi remaja dan bagi golongan keluarga
kecil yang sibuk yang tidak mempunyai masa untuk menyediakan makanan
secara biasa. Sejak kebelakangan ini penggunaan ketuhar mikro amat
diperlu bagi mempercepatkan aktiviti memasak berbanding cara biasa.
Perancangan ruang
Bagi kebanyakan tempat, dapur menjadi pusat dalam rumah dan aktiviti
domestik. Kurangnya makan secara tradisional yang mana makan secara
formal menyebabkan dapur menjadi ruang bersama antara ruang makan dan
ruang tamu. Ini menyebabkan dekorasi dapur menjadi penting sama seperti
ruang tamu..
Kediaman moden juga bertukar menjadi konsep perancangan terbuka yang
mana hanya sedikit atau tiada langsung pembahagian ruang dalam rumah.
Dengan cara itu, dapur tidak lagi berfungsi tunggal malah sebagai pusat
bagi keseluruhan perancangan dan skima reka bentuk kediaman.
Tip membuat perancangan dapur
Ruang makan dan dapur haruslah mempunyai perhubungan laluan dari
dalam dan luar. Sekiranya ada keramaian, dua laluan ini akan menentukan
kelancaran aliran trafik.
Aktiviti basah seperti mencuci pinggan, memotong sayur dan ikan
serta aktiviti memasak haruslah didefinisikan kawasannya dengan jelas.
Aktiviti yang awal disebut tadi lebih baik sekiranya dihubungkan terus
dengan ruang luar rumah.
Rak untuk menyimpan barang-barang dapur haruslah terancang dan
mencukupi. Senaraikan barangan keperluan dapur mengikut kategori
penggunaannya agar keputusan jumlah rak terbuka, rak tertutup, laci dan
kedudukannya dirancang dengan berkesan.
Gunakan pintu berkembar yang boleh dibuka luas apabila ada aktiviti
keramaian serta tingkap yang strategik untuk peredaran udara yang
berkesan. Tidak semestinya pembukaan itu banyak. Peredaran, udara
berlaku apabila ada laluan angin masuk dan laluan angin keluar yang
jelas dan kedudukan bukaan adalah betul. Jika perlu, gunakan kipas
penyedut untuk membantu peredaran udara.
Jika berkemampuan, gunakan mesin basuh dan mesin pengering baju
untuk mengurangkan ruang penyidai baju. Walaupun ramai antara kita yang
gemar mengeringkan baju secara semula jadi dibandingkan dengan mesin
pengering baju, sebenarnya, perbezaan ini hanya sedikit dan secara
psikologi kita rasa baju yang dikeringkan matahari lebih sedap dipakai.
Ruang luaran yang kecil dan sedikit boleh dijadikan taman untuk
dinikmati dari ruang makan dan ruang dapur. Di sini juga, terletaknya
pintu pagar belakang untuk tujuan pembersihan rumah seperti pembuangan
sampah dan sebagainya.
Bahan dan aksesori
Perkembangan bahan dan kemasan serta aksesori menyaksikan
perkembangan reka bentuk dapur menjadi menarik. Ketika ini, pengguna
mempunyai banyak pilihan daripada hanya kemasan seperti jubin seramik
dan kemasan cat yang digunakan sebagai bahan kemasan.
Hari ini dapat dilihat pelbagai penggunaan bahan kemasan yang
menarik seperti bahan besi tanpa karat, kaca, laminate kayu berwarna
dan plastik tahan lasak. Semua kemasan ini amat sesuai kerana mempunyai
ciri tahan lasak, kuat, serta amat tahan untuk kegunaan harian di dapur.
Aksesori pula berfungsi memudahkan susunan peralatan dapur supaya
lebih teratur dan kemas. Aksesori yang menarik menambah lagi gaya reka
bentuk dapur.
Gaya reka bentuk
Gaya reka bentuk dapur juga amat dinamik seperti gaya fesyen
pakaian. Hari ini kita dapat melihat banyak pilihan reka bentuk boleh
diperoleh sama ada daripada majalah, buku atau bilik pameran gaya dan
stail reka bentuk dapur.
Sekiranya anda ingin mereka bentuk dapur sama ada dari peringkat
asas, pengubahsuaian yang lama atau merancang semula sangat baik. Anda
perlu bersedia dan terbuka dalam menerima apa juga cadangan yang
dicadangkan oleh pakar terutama bahagian teknikal seperti pemasangan
dan pendawaian.
Pembacaan dan penelitian serta rujukan mengenai dapur akan membantu
anda mengumpul segala maklumat yang diperlukan untuk melaksana dan
menggunakan dapur sebagai rutin dan tugas seharian.
Perancangan reka bentuk dan kos
Membina atau mengubah dapur adalah projek yang memerlukan
perancangan teliti dan ketika pelaksanaan kerja akan berubah-ubah
kerana pemilik tidak yakin apa yang dikehendaki dan perubahan ini akan
membabitkan kos.
Berbanding dengan kerja membaiki atau menukar unit pintu yang mana
kerja dilakukan hanya menggunakan bajet terhad maka hendaklah
berhati-hati dengan tambahan kos dan kos yang tersembunyi. Oleh itu,
perlu ada dana untuk menampung kos berkenaan.
Teknologi
Selain kos yang perlu dititik berat, ada beberapa perkara yang perlu
difikirkan dari segi praktikaliti, keselamatan dan kebersihan yang
perlu diketahui oleh pengguna dapur. Keperluan dapur banyak membantu
memudahkan kerja menyedia dan memasak makanan.
Kemajuan teknikal berlaku cepat dan adalah baik untuk mengambil masa
meneliti produk keperluan dapur yang ada dalam pasaran sama ada
keluaran terbaru sebagai pilihan. Adalah baik mengetahui tahap jaminan,
kelasakan dan jangka hayat produk keperluan dapur berkenaan ketika
membeli.
Jangan terpengaruh dengan trend dan reka bentuk dapur terkini -
fikirkan mengenai praktikaliti. Binalah dapur yang sesuai dengan cara
hidup dan juga inspirasi gaya yang diidamkan. Paling penting anda
berasakan seperti rumah sendiri yang mana anda selesa dan praktikal
untuk bekerja.
No comments:
Post a Comment